Jumat, 20 Mei 2011

PROSPEK PENGGANTI PTK BERKUATKUASA 1 JULAI

Bernama 19/5/2011

PUTRAJAYA, 19 Mei (Bernama) -- Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi atau PROSPEK menjadi pengganti kepada Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang berkuatkuasa 1 Julai ini, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Abu Bakar Abdullah. Beliau berkata lapan prinsip yang menjadi teras kepada penilaian baru itu meliputi falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian. "Walau bagaimanapun, sebarang penambahbaikan pelaksanaan boleh dibuat atau dirunding dari semasa ke semasa. "Itu jaminan saya," katanya pada majlis Menandatangani Persetujuan Bersama JPA-Cuepacs Mengenai Penilaian Baru Kompetensi Menggantikan PTK di sini Khamis. Turut hadir Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman. Abu Bakar berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Cuepacs secara bersama bersetuju bahawa falsafah penilaian berasaskan kompetensi diteruskan dengan memperluaskan skopnya meliputi pembangunan kompetensi dan potensi. "Pengenalan penilaian potensi sebagai nilai tambah kepada penilaian baru ini bertujuan memantapkan lagi fungsi pengurusan bakat dalam perkhidmatan," katanya. Beliau berkata selain dimensi asas kompetensi seperti pengetahuan, kemahiran dan sikap, kedua-dua pihak bersetuju dimensi tambahan diperkenalkan iaitu kreativiti dan inovasi selaras dengan nilai semasa yang diberi penekanan oleh kerajaan dalam pembangunan negara. Katanya kaedah penilaian bagi kumpulan pelaksana tidak lagi berasaskan peperiksaan tetapi ditentukan oleh panel penilai yang berwibawa yang akan menilai kompetensi yang diperlukan pada sesuatu jawatan. Katanya hasil penilaian akan menentukan status kompetensi pegawai sama ada mempunyai kompetensi 'cemerlang dan berpotensi tinggi', 'memenuhi kompetensi dan berpotensi' atau 'memerlukan pembangunan'. Abu Bakar berkata pegawai yang melalui proses penilaian dan pembangunan serta memenuhi kriteria penilaian yang ditetapkan, berpeluang menikmati ganjaran dalam bentuk pembangunan diri dan kemajuan kerjaya. "Faedah pembangunan diri termasuk peluang mengikuti pelbagai program pembangunan untuk meningkatkan kompetensi dan potensi seseorang pegawai serta pengiktirafan lain seperti Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Pingat Perkhidmatan Cemerlang dan lain-lain. "Manakala faedah kemajuan kerjaya termasuk pertimbangan untuk kenaikan pangkat mengikut skim perkhidmatan masing-masing dan peluang mengikuti latihan di dalam atau di luar negeri," katanya. Katanya pegawai yang berada di gred kenaikan pangkat pula akan mengikuti program pembangunan kompetensi dan potensi yang ditetapkan mengikut gred yang berkenaan. "Kaedah pembangunan boleh berbentuk program seperti Pembangunan Kompetensi Berterusan, Latihan Berteraskan Kompetensi dan seumpamanya," katanya. Abu Bakar berkata ketua perkhidmatan dan ketua jabatan diberi fleksibiliti dalam menentukan aspek dan kaedah penilaian dan pembangunan sesuai dengan keperluan kompetensi jawatan berkenaan. Katanya pada keseluruhannya penilaian kompetensi baru ini adalah berbentuk program yang bersepadu bermula dengan pengenalpastian kompetensi pegawai di gred lantikan yang diikuti dengan pelbagai program pembangunan diri termasuk bimbingan, pementoran dan latihan sesuai dengan keperluan pembelajaran pegawai yang berkenaan. "Setelah berada di gred kenaikan pangkat, pegawai seterusnya akan melalui program pembangunan kompetensi dan potensi yang dirancang secara sistematik sehingga ke akhir kerjaya seseorang pegawai," katanya. Katanya pada masa ini, pihak JPA sedang meneliti draf akhir pekeliling berkenaan yang dijangka akan dikeluarkan pada akhir bulan ini. Mengulas mengenai tiga permohonan Cuepacs, Abu Bakar berkata pihaknya tidak dapat menjanjikannya kerana setiap perancangan kewangan perlu dilaksanakan dengan baik. Terdahulu, Omar dalam ucapannya memohon kepada JPA supaya kenaikan pangkat secara time-based dikekalkan, bukan berdasarkan kepada kompetensi tertentu; dan kedua perlu ada kenaikan pangkat secara istimewa yang tidak tertakluk kepada jawatan kosong. "Selepas pergi mana-mana kursus atau meningkatkan kompetensi tetapi balik tidak juga dapat kenaikan pangkat. Jadi, kita mahu mana-mana penjawat awam yang pergi bagi meningkatkan kompetensi dan potensi, supaya balik tanpa temuduga terus mendapat kenaikan yang cemerlang dan istimewa," katanya. Katanya yang ketiga ialah insentif diberikan apabila seseorang pengawai itu mendapat kenaikan pangkat dan sebagainya. -- BERNAMA

______________________________________________________________________ Gambar dari Media Cuepacs

Senin, 09 Mei 2011

NOTIS PINDA TEMPAT MESYUARAT TERGEMPAR MJKT

Semua Ahli Majlis Jawatankuasa Tertinggi [ MJKT ] KPKSM Saudara / Saudari, NOTIS PINDA TEMPAT MESYUARAT TERGEMPAR MJKT Saya adalah diarah untuk merujuk kembali kepada surat KPKSM : 10 / 1 / Klt. 3 / [ 9 ] bertarikh 7 Mei 2011 perkara yang tersebut di atas. 2. Dimaklumkan atas sesuatu perkara yang tidak dapat dielakkan maka Mesyuarat Tergempar Majlis Jawatankuasa Tertinggi [ MJKT ] Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia yang sepatutnya diadakan pada 11 Mei 2011 [ Rabu ] jam 9.00 pagi bertempat di Ibu Pejabat KPKSM Jalan Travers, Brickfields, Kuala Lumpur telah dipinda ke Pejabat KPKSM Cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kelana Jaya. 3. Pihak Ibu Pejabat Kesatuan memohon maaf di atas kesulitan yang dialami ekoran perubahan tempat ini. Sekian, terima kasih. “ BERKHIDMAT DENGAN JUJUR DAN PROGRESIF ” [ MOHD. MAZLAN BIN MOHD. SHAARI, PPN, PJK ] Setiausaha Agung

MESYUARAT TERGEMPAR MJKT

Semua Ahli Majlis Jawatankuasa Tertinggi [ MJKT ] KPKSM Saudara / Saudari, MESYUARAT TERGEMPAR MJKT Saya adalah diarah untuk merujuk kepada perkara yang tersebut di atas. 2. Dimaklumkan bahawa satu Mesyuarat Tergempar Majlis Jawatankuasa Tertinggi [ MJKT ] Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia akan diadakan sebagaimana ketetapan berikut :- 2.1 Tarikh : 11 Mei 2011 [ Rabu ] 2.2 Masa : 9.00 pagi 2.3 Tempat : Ibu Pejabat KPKSM Jalan Travers, Brickfields 50470 KUALA LUMPUR 3. Agenda Mesyuarat :- 3.1 Perutusan Pengerusi 3.2 Membincang dan memutuskan tindakan-tindakan berikut :- 3.2.1 Memboikot Kerja Lebih Masa ; 3.2.2 Memboikot Sambutan Hari Pekerja Sektor Awam Anjuran Bersama JPA dan CUEPACS ; dan 3.2.3 Sidang Akhbar Mengenai Perjumpaan Dengan YAB Perdana Menteri Malaysia 3.3 Hal-Hal Lain 3.4 Ucapan Penangguhan Pengerusi 4. Kehadiran saudara-saudari ke mesyuarat tersebut adalah diwajibkan bagi membuat keputusan yang kolektif dalam menentukan tindakan-tindakan yang perlu diambil dalam menangani senerio yang berlaku akhir-akhir ini. Sila sahkan kehadiran saudara / saudari dengan mengembalikan Format ‘A’ kepada Urus Setia Ibu Pejabat pada kadar segera. Sekian, terima kasih. “ BERKHIDMAT DENGAN JUJUR DAN PROGRESIF ” [ MOHD. MAZLAN BIN MOHD. SHAARI, PPN, PJK ] Setiausaha Agung

Minggu, 24 April 2011

POLIS , SPRM USAH LEKA DENGAN KE KEMATIAN MENGGEMPARKAN

Utusan Malaysia
23/4/2022
Oleh Azman Anuar



DAHULU jenuh pihak Polis Diraja Malaysia bersilat untuk menepis ‘tikaman dan tembakan sembarangan’ dari segenap sudut apabila berlaku kematian mengejut seseorang ketika dalam tahanan polis.

Begitu juga dengan kes seorang anggota polis dituduh menyebabkan kematian remaja, Aminulrasyid Amzah.

Kini, peluru dan senjata tajam sedang ditujukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Belum pun selesai kes Teoh Beng Hock, berlegar-legar pula spekulasi tentang kematian mengejut Penolong Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Ahmad Sarbaini Mohamed.

Sebagai mana kes Beng Hock, nampaknya ahli keluarga Ahmad Sarbaini juga tidak berpuas hati dengan keputusan siasatan polis yang menyatakan Allahyarham mati mengejut dan tiada elemen jenayah terlibat.

Perasaan sedih dan kecewa ahli keluarga Ahmad Sarbaini tidak dapat dipujuk dengan kenyataan yang boleh dipertikaikan hasil siasatan itu.

Mereka berasa tidak masuk akal untuk Ahmad Sarbini yang pandai mengucap kalimah syahadat, ada isteri dan anak sanggup terjun dari aras satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan pada 6 April lalu untuk membunuh diri.

Nampaknya keluarga Allahyarham tidak mahu polis menutup segera kes kematian ini dengan memberi tahu ia kematian mengejut kerana terjatuh. Mereka mahu pihak polis mengorek hingga sekecil lubang cacing untuk mencari punca Ahmad Sarbaini terjatuh dan mati.

Melihat perkembangan kes-kes mati mengejut ini, selepas ini urusan siasatan polis dan SPRM tidak seperti masa-masa lalu.

Trend ini memperlihatkan sekarang segelintir orang awam sudah tidak dapat menerima bulat-bulat keputusan siasatan polis atau SPRM.

Lazimnya, apabila laporan siasatan sudah lengkap ia diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menentukan tindakan susulan – dakwa atau tutup kes.

Pun begitu jangan anggap semua sudah selesai. Biasanya manusia tidak dapat menutup semua mulut orang daripada membuat spekulasi.

Yang tahu apa penyebab dan punca kematiannya ialah si mati. Sebab itu kalaulah Tuhan bagi anugerah supaya dinding boleh bercakap, mungkin kita tahu apa sebenar yang berlaku. Tak payah sesiapa pun membuat andaian yang entah betul atau salah.

Tapi ada pihak yang cukup pandai dalam bab untuk membuat andaian dan mereka-reka cerita terutama memperlekehkan institusi kerajaan – polis dan SPRM.

Jadi, elok sangat isu kematian Ahmad Sarbaini ini tidak melibatkan orang politik terutama parti pembangkang.

Jika isu kematian penjawat awam ini dipolitikkan, entah bila ia akan selesai. Lihatlah perkembangan kes liwat dan kes kematian Beng Hock yang sehingga kini belum selesai.

Paling utama kematian individu memang perlu disiasat lebih terperinci demi keadilan dan kebenaran. Namun begitu, janganlah isu kematian itu menutup pula isu yang lebih besar iaitu siasatan untuk membasmi kegiatan rasuah di negara ini.

Kes Beng Hock sebenarnya ada kaitan penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Begitu juga kes kematian Ahmad Sarbaini yang ada kaitan dengan rasuah di Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Kita minta, pihak berkuasa tidak terlupa tentang perkara yang lebih menggemparkan negara hasil pembongkaran SPRM dan polis itu.